Members

Wednesday 30 October 2013

~ SYAIR TENGKUBAN PERAHU ~

Pertama kali cuba bersyair dan mohon kemaafan jika terdapat banyak kekurangan dan kesilapan dalam syair pertama yang saya ilhamkan ini. Semoga ada sesiapa yang berkemahiran dalam pembinaan syair dapat memperbetulkan segala kesilapan.

SYAIR TENGKUBAN PERAHU

Tersebutlah kisah dahulukala,
di Tanah Parayangan cerita bermula,
negerinya aman indah segala,
puterinya seorang ditatang dibela.

Si Dayang Sumbi nama diberi,
cantik rupawan tidak terperi,
mashyur terkenal seluruh negeri,
namun pemarah menemani diri.

Di beranda istana puteri menenun,
dipintal benangnya sepenuh tekun,
benangnya jatuh si puteri tertegun,
menyumpahlah dia memaki hamun.

Kerana marah puteri bersumpah,
kepada sesiapa yang pemurah,
ambilkan benangnya untuk diserah,
akan dikawininya tanpa berbalah.

Sumpahnya makbul sekelip mata,
datang si Tumang mendengar kata,
puteri terperangkap janji dikota,
pernikahan dicanang pada rakyat jelata.

Tumang jadian anjing perkasa,
bukan seperti manusia biasa,
punyai sakti dan juga kuasa,
hiduplah mereka aman sentiasa.

Genap masanya lahirlah putera,
Tumang dan puteri sungguh gembira,
Sangkuriang dinamakan diasuh dipelihara,
sedari kecil saktinya amat ketara.

Suatu masa si Dayang mengidam,
daging rusa ingin dihadam,
Sangkuriang dan Tumang sudahlah faham,
ke hutan mereka mencari yang diidam.

Setelah lama mereka ke belantara,
si rusa dicari tidak berjumpa,
demi kasih pada si bonda,
si Tumang dipanah secara terpaksa.

Pulanglah anak membawa buruan,
bonda gembira tidak tertahan,
tercapai jua hajat idaman,
tanpa menyedari segala penipuan.

Setelah kenyang menjamu selera,
baru tersedar Tumang tiada,
pada anak ditanya segera,
terbongkarlah semua segala cerita.

Marah Si Dayang bukan kepalang,
dipukulnya tepat di kening Sangkuriang,
jatuh pengsanlah Sangkuriang terlentang,
Dayang diusir oleh raja yang walang.

Setelah bertahun peristiwa berlalu,
menggembara Sangkuriang mencari ilmu,
si wanita jelita telah ditemu,
bercintalah mereka tanpa jemu.

Tiba pada hari pernikahan,
sewaktu menyisir rambut si tampan,
terpandang Si Dayang akan kesan,
tanda di dahi tersingkaplah kenangan.

Terkejut Si Dayang tidak terkata,
kerana anaknya di depan mata,
kerana asyiknya mereka bercinta,
hampir dinikahinya anak jejaka.

Si Dayang berikhtiar gagalkan rancangan,
pada si anak diberi tugasan,
diarahkan Sangkuriang membina bendungan,
sebelum fajar harus disiapkan.

Demi cinta membuta tuli,
tugasan diterima seikhlas hati,
diarahkan jin dengan ilmu sakti,
menyiapkan bendungan sebelum pagi.

Sebelum fajar menjengah kesiangan,
menyiapkan perahu jadi tugasan,
sebatang pokok menjadi pilihan,
lalu ditebang sepenuh kekuatan.

Melihat kerja yang hampir siap,
di hati Si Dayang risau menyelinap,
pada dewa dia berharap,
agar malam menjadi sekejap.

Doa Si Dayang dewa perkenan,
ayam pun berkokok di tengah laman,
menandakan tempoh sudah kehabisan,
mengamuk Sangkuriang kerana dipermainkan.

Perahu ditendang sepenuh kekuatan,
jatuh terbalik di tengah hutan,
konon di situlah Gunung Tengkuban,
perahu terlangkup dijadikan sebutan.

Begitulah kisah sebuah lagenda,
telah termaktub dalam cerita,
kerana asyik dalam bercinta,
hampir sahaja mendapat cela.

Qalam Bertinta
Klang
30102013
2143pm

~ TEJA CINTA DIRANTAI, DISIRNA REDUP KASIH ~

~ Teja Cinta DiRantai, DiSirna Redup Kasih ~

Di sebalik anggun dan keunggulan kasmaran
cinta yang membisik temaram perdu rindu
terakhir dibayangi segugus mutiara disapa
bagai diulit mimpi semalam asyik indahnya
kubagai dalam lamunan terhenti

buram pelangi senja menatap wajah bulan
seakan malap tanpa seri kasih dipuja asa
aksara tiada lagi mewarnai teja cinta rasa
bintang menghilang dalam rindu hampa
terdampar lesu di benak usang rindu

dirantai kelongsong rindu mencengkamku
menguis berlalu pancawarna ukiranmu
lantera cinta beradu di tepian samudera
saat berlalunya kilauan sinar kasih usai
lemas di persemadian sendirian

akukah yang terlewat mengemudi sauhku
kedengaran deruan rindu dipujuk setia
menyata kasih alunan puing berlagu sayu
tika menatap pelupuk cinta irama syahdu
nyanyian kalbuku terusik

impian cinta merekah, menguntum sucimu
tatkala renjisan membasahi pipi embun
merungkai gedung rawan rindu di hati lara
menggebu laskara kasih mengusung sepi
menatap ke dasar kabus bisu

jari jemari bermain dipetik kasih di dakapan
melerai sanubari rindu membuncah nafas
ditiup sayup kedinginan membujuk nuraniku
bernoktah di sisi rimbunan cinta pesonamu
kalam terlerai di pintu mahligai seri

bangkit sedar dalam gemersik kasih di dada
bila kanvasku dilakar duka dimamah badai
runtuh jua ikatan yang terbina teguh dijaga
akhirnya hancur musnah dipukul ombakmu
cinta yang menghempas dipantai rinduku
yang tiada bertepian

lafazkanlah di hujung cinta dipegun rakusmu
di kala nafsu rindu mulai menyusup alpa
semuanya di serbu angsana yang layu resah
tidak ternampak lagi ruang kasih sayang
dalam diri wada'ahmu

seluhur kata menitip cinta yang berlalu lagi
walang menghampiri akrar biasan egomu
tidak terpandang rindu bergelora dibuaimu
dipalit cercaan hinis yang tertancap di jiwa
di hias cempaka berduri ciptaan kasihmu

akhirnya terlerai jua raksa kejammu dibuka
wajah topeng lakunan cinta sakti di pohon
biarpun terbuai dalam tandu sementaramu
mencorak rindu di dinding pentas dipijakku
kesannya pasti ada di genggaman kasihmu
yang tidak lagi terpuja dan dipuji...

'Teja Cinta DiRantai, DiSirna Redup Kasih'...tiada rindu lagi di persada ini..buatmu...

30hb Oktober 2013 Rabu
9.08pm
cahayasyahadah♥♥

~ WAJAH ITU ~

WAJAH ITU

Riak air itu cermin
ada wajah di dalamnya
muram…suram
butir air matanya
terhenti di sudut bibir
ada kesal di sana.

Aku cuba bertanya
cerita sendu apa yang terhidang
hingga hatinya walang

:diam
tidak berpaling.

Qalam Bertinta
Klang
30102013
1019am

~ PESAN BUAT PUTERIKU ~

PESAN BUAT PUTERIKU

Puteriku, ingatlah pesan ibumu ini, bila memasak, masaklah dengan ikhlas dan penuh kasih sayang dimulai dengan bismillah atas setiap apa pun yang engkau lakukan diikuti dengan selawat ke atas junjungan yang dikasihi Muhammad s.a.w.

Ikatlah hati keluargamu dengan resepi keikhlasanmu disadur dengan ramuan kasih sayang agar ke mana pun kaki mereka melangkah hati tetap terpasung dengan kasih sayangmu.

Sisipkan di hatimu sekemas mungkin pesan ibumu ini kerana hanya itulah hartaku buatmu wahai anak, yang mampu kutinggalkan… .

Cahaya Laila
30 Okt 2013
Klang Selangor.

~ ILHAM YANG KESIANGAN ~

ILHAM YANG KESIANGAN

Di lantai malam
ilhamku mati
sepi menyengat
bungkam dan diam
aksara merajuk
minta dipujuk
penaku terhenti
abjad jatuh
dari tebing kajang
bertaburan di dada buntu.

Tinta itu masih ada
...beku
lohong itu kosong
lalu menyerap
semua bahasa
dalam terjahan sukar
mencipta kata.

Aksara itu muncul
abjad kembali tersusun
pun ilhamku
kian kesiangan.

Qalam Bertinta
Klang
29102013
2327pm

Tuesday 29 October 2013

~ BERBEZA ~

BERBEZA

Engkau
aku.

Dia
aku.

Aku
engkau.

Dua
berbeza
hijab
terjarak.

Pencipta
dicipta
akal
fikirkan
iman
tanya.

Qalam Bertinta
Klang
29102013
1037am

Monday 28 October 2013

~ IRAMA CINTA BERTARIAN SUKMA KASIH DIBUAI ~

~ Irama Cinta Bertarian Sukma Kasih DiBuai ~

Saat bila zafrah rindu menunduk sipu di tangkai
bergemang tiupan kabus diusik rawan gemawan
tercoret aksara yang terukir di mahligai indahku
terpatri kesuma cinta yang diusai di perdu rasa
menggebu di dalam panorama berkias

dipalit ranggi tertancap setia dibayangi sanubari
membasahi embun teratak kasih di lubuk hati
mengucap kalimah yang terpendam di jiwa
tersingkaplah rahsia cinta di sebalik nurani
mendakap seri di persada asyik

laungan guruh gempita rindu bergema dirasa
berombak kasih di dada semu melerai lesu
pepasiran dipantai cinta melakar indahnya
di ketika hembusan bayu mengucup renda
tintaku di kanvas terhias mega impian

dakaplah dalam sinar mentari cinta dipujamu
menyelubungi raksa teja kasih pesona ilusi
mendayu dalam lirik syahdu kerlipan bulan
saat ia pun turut mengalun syair gurindam
di pelupuk batas rindu pilu

di pohon sayembara cinta tarian berikutmu
menguis kalbu yang suram ditandu dihias
kini hanya yang ada serpihan kasih ditelan
membuncah gemersik romantis digelangi
aura berseloka rindu sayu

puncak kemilau rindu yang dulunya indahmu
bersemarak rimbunan kasih bersulam manik
keunggulan renjatan terbias dalam lafazmu
dalam ikatan berkasih yang seutuhnya teguh
cinta di pusaran yang kini hanya debu

berakit kasih di hujung mimpi pelayaranmu
mendayung hingga ke dasar pelabuhan sunyi
tersipu dalam bayang keasyikan kesendirian
memagut rindu tiada bersahutan lagi laluku
menongkah di muara cinta maya bisu

kata demi kata bicara demi bicara terungkap
lembayung pun turut keriuhan kasih sinis
menggarap rekaan yang tidak akan lelah
biarpun dimamah rasa rindu di hujungmu
terleka dalam cinta yang tiada noktah

lalu aku berpaling dari rombongan kasihmu
tersayat di tepian rona yang kusam hamis
membangkitkan kesedaran rindu terbiarku
kini ada cebisan afsun yang dicemari oleh
cinta yang anggun tidak berkesudahan

hamparan cinta bertitik-kan kelam wajahmu
terhambar dalam igauan rindu disapaku
lukisan jiwa dibelenggu relung sunyiku
bangunku dalam panahan kasih di terjah
akhirnya di penjara dalam khayalan asa...

'Irama Cinta Bertarian...Sukma Kasih DiBuai'...rama-rama rindu berterbangan pulang...

28hb Oktober 2013 Isnin
7.18pm
cahayasyahadah♥♥

Sunday 27 October 2013

~ SEPI KESENDIRIAN...DIBELENGGU LUKA SEMALAM ~

~ Sepi Kesendirian...Dibelenggu Luka Semalam ~

Seketika alunan bayu menghembus redup
terhampar titisan luka gurisan tersayat pilu
merobek rekahan di dinding kasih puingmu
musnah jua kanvas cinta terbakar hangus
dimamah api keegoaanmu

tertera lukisan rindu syahdumu di benakmu
mengukir tinta cinta palsu di celah angkuh
mengharap sinar menyuluh sukma kasihku
agar tiada ternampak yang hanya bicara
manis mengungkap duka

retak kacanya di pintu impian cinta diulitmu
berdarah semu tiada rengkuhan nafas lagi
berderai semua lantera kasih yang dipegun
terhempas buaian, belaian dipohon sejati
kini hambar dimamah sinis rindumu

di penjara, di penjuru teratak usang rindumu
hanya yang ada illusi kasih mega berkabusku
penghargaan suci digembur bagai tiada erti
dipijak rakus rindu menggelebung ubun rasa
akhirnya terbiar di persada bisu

di batas seri cinta yang membisik merayuku
tersentak disapa merentap lamunan kasih
serambi rindu yang digelangi wada'ahku
berderai di pusara anjung tiada berbunyi
kelihatan bayang-bayang sekilas berlalu

dikenang di waktu cinta bersemarak lalu
terungkai satu persatu relung rindu pedih
menatap resah gelora kian gemerincing
akhirnya tercurah jua angan yang tiada
berkesudahan, ditinggal lembayung asa
kasih bertempiaran

dihiris sembilu rindu direntap panahanmu
di tebing kasih di mata asyik memuja diri
dipersenda, diduga ejek sukma bertalu
bertamu duri-duri yang mengusir cinta ini
menusuk tirai hati, dibenci arus nafsu

di lautan kasih ciptaanmu asyiknya dicari
di tepis renda rindu menyusup panorama
bersaksikan bulan bintang kecurangan lagi
terlebur aksara cinta didiami, berkemudi
dalam kasmaran yang tiada pelabuhan

rangkulan cinta tiada lagi keindahannya
hanya mamar kosong bersulamkan laraku
menahan sebak di hati, kumelangkah pergi
biasan, kiasan rindu yang dipalu kini bagai
bisa menjalar dalam nurani lesu

apa lagi yang harus kuungkapkan padamu
cuma pintaku lepaskan layar kasih pilu ini
agar dapat kumenguis pantai rindu ragamu
yang merantaiku, melemaskan aku ke dasar
tasik madu yang memeritkan dalam ranggi
di serbu lafaz azimat yang pedih...

'Sepi Kesendirian...Dibelenggu Luka Semalam'...usah ditambah bara yang kian hancur dalam onak kasih di perdu jiwaku..cukuplah sudah...

27hb Oktober 2013 Ahad
10.48pm
cahayasyahadah♥♥

~ HANCURNYA ISTANA CINTAKU ~

HANCURNYA ISTANA CINTAKU

Berenang-renang anak haruan
sampan kolek mudik ke hulu
bagaimana hati tak rawan
orang dirindu diam membisu.

Kerana rindu yang menggamit, kerana sepi yang bertamu, kerana persoalan yang tidak pernah terjawab maka ringan benar jejari ini rasanya mencoretkan bait-bait bicara untuk tatapanmu. Segala yang kulakukan ini adalah kerana panggilan hati yang setiap detik dan ketika keluh kesah kerana mengenangkan sikapmu. Katakan di mana silapku sehingga kaumenyepi demikian rupa atau penyesalan telah membumbung tinggi menyelinap rasa lantaran hadirnya aku di persada hatimu.

Pemergianmu dari daerahku, daerah yang mempertemukan kita… meninggalkan sejambak sepi dan resah, saban malam lenaku berbantalkan duka, bertilamkan resah, diselimuti rindu, bermimpikan ilusi semalam tentang kita, manakan hati tidak gundah, saban hari minumku semangkuk airmata nestapa, makanku sepinggan rindu yang gelora…manakan hati tidak resah… pun begitu apalah dayaku untuk menghalangmu.

Biar masa penentu segala…bunga harapan tak mungkin padam kerana hatiku telah bertinta namamu.

Baik-baik belayar rakit
jangan sampai putus talinya
kasih sayangku bukan sedikit
kalau boleh mati bersama.

Cahaya Laila
27 Okt 2013
Klang Selangor

~ AKU, PENANTIAN DAN AKU ~

AKU, PENANTIAN DAN AKU

Rindu
engkaukah yang datang ketika ranting malam mula menundukkan dedaunnya?
Lalu menyapa angin untuk terbang bersama mengetuk pintu sebuah penantian
yang telah lama bermukim di daerah ini dalam sepi yang panjang
atau engkaukah yang berlari lelah menembusi gelapnya malam
untuk tiba ke penghujung penantian sebelum fajar kecewa mula membongkar sauhnya?

Batas pemisah ini telah lama terbina tika engkau masih lagi dalam perjalanan ke mari
laman jarak itu juga telah lama ditumbuhi hutan keputusasaan
menutup denai langkah yang pernah kita berdua mencantas belukarnya
dan kita juga bersama-sama mencabut semalu tajam agar jalanan kita
tidak tertusuk dengan duri curiga yang akan mencarik kelambu sebuah harapan
yang kita sulam dari benang-benang kepercayaan
juga dalam detik waktu yang bertukar musim.

Pun penantian itu adalah aku yang masih duduk di situ memandang arah mata angin
untuk kuhidu semula bauan denai yang semakin melebat belukarnya
bukan untuk menjemput dan memimpin tanganmu menembusi musim mendatang
dan bukan juga untuk kita kembali menebas belukarnya agar denai itu dapat kita lalui
aku hanya ingin mencari jalan pulangku
kerana di permulaan denai itu
ada aku yang sedang menanti
pun untuk kembali seperti dulu
…sendiri dan sepi.

Qalam Bertinta
Klang
27102013
0201am

Saturday 26 October 2013

~ IDAMAN KALBU ~

~ Idaman Kalbu ~
( suamiku Bf )

jendela kamar terbuka
diterjah panahan asmara
cahayanya indah berseri
di sinari warna-warna pelangi

cinta mekar bersemi
indah harum mewangi
hadirmu sungguh bererti
menghilangkan kedukaan
yang kutanggung selama ini

duhai lelaki idaman kalbu
hadirlah dalam mimpiku
agar terubat segala rindu
penawar sukmaku sebelum kita ketemu...

 AnnaBf   
Taiping ~ 26/10/2013

http://youtu.be/-BahCbkFKXw

~ MENGEMUNING KUNTUMAN BUNGA...MEKAR DI PERDU CINTAMU ~

~ Mengemuning Kuntuman Bunga...Mekar Di Perdu Cintamu ~

Di ketika mekar mengharum debunga cinta
berkemuning di jambangan afsun kasihmu
berhias indah dalam aksara gurisan kalbu
melakar tinta di kanvas rindu menggebu
menarik aku ke perdu asmara

kamar rindu dulunya sepi kini bersemarak
bila cinta yang kusemai menyusup ragamu
tercoret di pintu mahligai kasih gurindam
lukisan jiwa bertatahkan keemasan cinta
berkias dalam pancawarna impian

desiran puing kasih menghembus lembut
mencium pipiku yang kerinduan dambaan
wajah cinta di sukma mengukir senyumku
di persada anggun berkasih bersirna seri
sejati dalam keabadian telus

teratak cinta lakaran jiwa terpatri bersatu
bergemerincing arus kasih di singgahsana
meniti titian rindu dalam teja warna ungu
berkerlipan cahaya menyuluh di segenap
lantera dalam sinarnya wada'ah

terpegun dalam renjisan embunan rindu
terkasima dalam dakapan cinta syahdu
melengkapi nurani gemawan dirasaku
tiada rawan yang menguis kasih di jiwa
yang bersemi indah angsanaku

tertancap ranggi purnama rindu dibelaimu
dihiasi zafrah dipetik dalam akrar diucap
bersendikan teguhnya cinta di tangkai hati
bertemaram dalam gemersik kasih dibuai
dalam lagu alunan tejamu

dalam menganyam buih-buih cinta tulusku
terbentangnya permaidani kasih di sini
bertatahkan, bersulamkan sayap panjimu
menyelubungi asa rindu membisik asaku
berseloka dalam nazam berkasih

di mata kasih pun turut dipuja dilambung
disapa, dibelenggu rindu kian membuncah
melayari bahtera perkasihan di sanubari
mengusik cinta yang dimanjai, disiramimu
kian bercambah dalam romantismu

kemuncak kemilau cinta berseri megaku
di ingatan rindu yang mencuit renda ini
berdesup paluan yang menderu bagaikan
ditiup nafas hangatnya kasih di pangkuan
terlena aku dalam buaian asyikmu

berarak tandu kasih berhias cakrawala
menuju anjung lembayung rindu pesona
menanti hadirnya arjuna cinta di hati ini
pelengkap naluri keikhlasan dalam ikatan
seri berkasih...

'Mengemuning Kuntuman Bunga...Mekar Di Perdu Cintamu'...milikmu milikku jua akhirnya...dalam lantera kasih sayang...

26hb Oktober 2013 Sabtu
5.29pm
cahayasyahadahqalbi♥♥

~ HATI YANG KAUSAKITI ~

Hati Yang Kausakiti..

di pelabuhan sendu dingin membahang
ketika kucuba melawan arus gelora
kautoreh hatiku merobek kesabaranku
menjadikan salju cair di genggaman..

kalimah cinta terpatri suatu waktu
tiada lagi berseri di sudut jiwa
dalam kuikhlas tulus menyintai
kaujentik satu persatu kesuciannya..

di muara airmata kaucampakan diriku
lantas kaukhianati cinta ini
di bibirmu diriku kaucintai
di jiwamu dia abadi dan sejati..

mengapa kaupersiakan tuju cintaku
kauguris perasaanku kausakiti jiwaku
galau dan walang kauselimutkan
inikah mainan cinta dongengmu
seorang insan tiada ikrar janji sejujurnya..

terima kasih buat terakhirnya
kurelakan dikau pergi selamanya
hilang dari jejak kenanganku
tiada airmata cinta kutangisi untukmu
cuma airmata kecewa di khianati cinta..

Ya Tuhanku..
berikanlah diriku kekuatan diri
untuk terus menerima cinta kedua
seandainya suratan dari-Mu
adalah yang terbaik buatku
menjaga cintaku hingga pengakhiran
degup jantungku terhenti...

♡izasya♡

♥Dari Kekasih Kepada Kekasih♥

~ PANTUN JANGAN MENIPU ~

PANTUN JANGAN MENIPU

Menebang rumbia tepi belukar,
rembia dibelah bawa ke kuala;
bila rahsia telah terbongkar,
mulalah mengelabah tak tentu hala.

Bakar bahulu di petang raya,
untuk disedekah kepada yang fakir;
kalau dulu orang percaya,
tembelang pecah kawan menyingkir.

Ikan kerapu beli di pekan,
letak di para tangan dicuci;
kalau menipu jadi amalan,
hilang saudara kawan pun benci.

Pokok semalu melata di paya,
semut bersarang kanan dan kiri;
kalau dulu ramai percaya,
tapi sekarang semua dah lari.

Bunga raya subur di lombong,
diambilnya daun dibawa pulang;
di alam maya jangan berbohong,
lambat-laun nanti diketahui orang.

Qalam Bertinta
Klang
26102013
1337pm

Friday 25 October 2013

~ HUJAN PAGI ~

HUJAN PAGI

Dingin memamah belulang
merengat bisa mencengkam kaki
termangu dungu di jendela bisu
alam menangis hatiku pilu
punai menyepi tidak berlagu
asyik menyisir sayap yang kuyup
hujan masih menyanyi… .

Hujan pagi berlagu merdu
dalam irama ada kenangan
rindu tersadai di perlabuhan hati
longlai menggapai puing-puing
irama yang berserakkan
tiap cebisan ada cerita
tiap cerita ada airmata.

Cahaya Laila
25 Okt 2013
Klang Selangor

~ KAMAR KALBU ~

~ Kamar Kalbu ~

kusisip doa mohon restu
mengharap kasihMu
permudahkan perjalananku
onak berduri penuh liku

tipu daya kata nista
lakunan yang pura-pura
bertopengkan wajah manusia
berleluasa merata-rata

teguhkanlah imanku
suami serta keluargaku
menempuhi ujian amanah-Mu
jujur, ikhlas mencari keredhaan-Mu ...

 AnnaBf   
Taiping.

http://youtu.be/HBBwQgX8Od4

~ KEMBARA ~

~ Kembara ~

gemersik bayu
'menampar kalbu
longlai letih lesu
mengenang kisah lalu

jahil dalam perjalanan
astik terpesona keduniaan
tanpa arah tujuan
cuma ada gembira keseronokan
yang tidak berkekalan

tanah gersang sedia menanti
yang bakal kulawati
keredhaan-Mu kucari
taubat keampunan kupohoni ...

 BfAnna   
Taiping ~25/10/2013

http://youtu.be/dLfywIaHRoA

~ PANTUN LUCU PEPATAH ~

PANTUN LUCU PEPATAH

Ikan ketuka mati berdiri,
anak memerang berkain labuh;
jangan suka membazirkan bateri,
sudah terang kenapa nak suluh?

Anak ikan dimakan ikan,
ikan kelah terlompat-lompat;
kera di hutan disusukan,
kesian pun biarlah bertempat.

Emak kancil asyik menampi,
lenguh menampi menggigil-gigil;
kecil-kecil cili api,
dah cili api memanglah kecil.

Burung tukang menghayun kapak,
burung unta lihat terlopong;
kuman di seberang boleh nampak,
boleh pinjam mata buat teropong.

Kambing bebiri berkejar-kejaran,
bila lelah balik ke rumah;
sayangkan isteri tangan-tangankan,
siap sedialah jumpa di mahkamah.

Qalam Bertinta
Klang
25102013
1209am

~ DEMI KAMU ~

~ Demi Kamu ~

cinta mekar bersemi
bagai embun pagi
di sinari cahaya mentari
harum indah mewangi

hadirmu sungguh bererti
menyinari kamar hati
yang kelam sunyi sepi
indah ceria bagai pelangi

senyuman manis tawamu
ketebalan kumis bibirmu
madah tutur bicaramu
menikam menawan kalbu

bayu berhembus lesu
menampar mengusik kalbu
lemah sendi anggotaku
asyik menanggung rindu ...

 Anna   
Taiping ~ 24/10/2013

http://youtu.be/VavytnNPh50

~ SEPI HATI ~

Sepi Hati...

di pengakhiran senja
terpesona di birai malam
merawat sekeping hati 
sarat dengan rindu bertunas..

beralihlah persoalan dari dalam jiwa
menanti bayangan wajahmu
tanpa keluhan kauakan hadir untukku
walau dalam suram...sepi..
bayanganmu tetap kurasakan..

adakalanya perasan membahang
sehangat mentari memaksa naluriku
dalam amukakan cemburu
meresap di jiwa sukar kunyatakan
mengapa ia sering belenggu di fikiran...

biarlah hati ini merawati sendiri
telah biasa hadir dan pergi
menemani gerimis malam
bersama puisi cinta kautulis untukku
memgubati segala rindu dalam resahku...

♡izasya♡

♥Dari Kekasih Kepada Kekasih♥

Thursday 24 October 2013

~ RENDANGNYA PEPOHONAN CINTA...DALAM DAKAPAN RINDU ~

~ Rendangnya Pepohonan Cinta...Dalam Dakapan Rindu ~

Di ketika sang bayu menghembus usai rindu
tersentak di kucup puing kasih di pipi redup
sentuhan bagaikan salju cinta mendakapku
terusai dalam lembayung aksara syahdumu
aku terkedu

tersenyum sendirian dalam lamunan asyik
bersemarak gedung cinta yang tertancap
membuah pesona kasih dalam belaianmu
hangatnya aliran mata membasahi dirasa
saat genggaman rindu semakin erat

di perdu hati membuncah, menggebu asa
mendesah paluan kasih yang dibajai dirimu
mengemuning dalam raksa rindu bersaksi
digelangi aksara cinta di lubuk asmaradana
mengulit romantis buaian berkasih

pesona semakin deras mengusik pintu hati
bergelora ombak rindu dipantai cinta jiwa
membuak gemawan rawan kasih dijaga
menganyam buih-buih lalu kusematkan
di kanvas afsun

terlihat di hujung sana pancawarna kasih
berkerlipan dengan cahaya cinta dicurah
menghujani awana percintaan di serbu
melerai resah gelisah yang mengintaiku
tika lara kerinduan terlerai

ingin kugapai laskara unggulan cintamu
lalu kuingkap dan kusisipkan di nuraniku
agar obor rindu bersemarak di sanubari
membayangi wajah kalbu kasih dipuja
menghiasi sukma

berkemudi dalam perahu rindu di dada
bersauh setia di pohon rimbunan cinta
melabuh tirai menutupi anjung sepi pilu
bila dipeluk dalam rangkulan nafas satu
dengan bunga-bunga percintaan

sucinya percintaan dalam deruan asamu
melakar ukiran kasih di dinding angsana
terleka aku dalam buaian impian berkasih
lalu kuleburkan rasa merindu di pintu hati
moga tika berjauhan, keikhlasan dipelihara

pasak-kan rindu yang acapkali membisik
menyelimuti seri kasih di dakapan semu
menebar cinta di langit, di puncak kabus
berpaut ketelusan saat perkasihan disiram
menguntum mekar jambangan perkasihan

di rimba keabadian cinta sejati terpatriku
kurenjiskan titisan sayembara berlagumu
dalam alunan rindu yang menderu pasrah
mencorak warna tinta bertatahkan kasih
berkemuning di mahligai ukiran bersatu
azimatmu azimatku dalam jiwa rasa...

'Rendangnya Pepohanan Cinta...Dalam Dakapan Rindu'...terserlahlah dalam mentari debunga kasih...

24hb Oktober 2013 Khamis
5.14pm
cahayasyahadah♥♥

~ SEPUCUK SURAT ~

SEPUCUK SURAT

Sepucuk surat
di atas meja
...kubiarkan
kandungannya telah kufahami
ada kisah yang kaucatatkan di dalamnya
tentang cinta
tentang kita.

Itu dulu
waktu ceritanya masih bermula
jejak kita masih muda
...rapuh
dan bertatih
kita sering alpa
dalam mengarang kisah
kerana kita menganggap
cinta bermula dari huruf
lalu kita terjemahkannya
di dalam kata-kata
dan kita tewas di dalamnya.

Surat itu masih di situ
...kutinggalkan
kenangan itu telah kusarung rapi
serapi lembaran kata-katamu
yang engkau sisipkan
dalam sampul suratmu itu.

Qalam Bertinta
Klang
24102013
1259am

~ KUWARNAI TEJA CINTA DENGAN JINGGA RINDUMU ~

~ Kuwarnai Teja Cinta Dengan Jingga Rindumu ~

Di bibir cinta melafaz rawan kerinduan
berdesup deruan kasih di dada kanvas
berkemuning desiran sayu pilu aksara
membuncah rona-rona mega di jiwa
saat dikau menguntum senyum

kupayungi renjisan embun dipegunmu
lalu kuhamparkan detik manis indahnya
perkasihan yang hamparan rindu dirasa
terukir di lembayung cinta bertatahkan
kasih bersulam aksun

denai cinta merimbun di batas penantian
mengutus syair gemawan kasih dibelai
tertulis di pintu rindu terukir namamu
dambaan jiwa nurani bersatu tatkala
ranggi mennyelubungi angsana dibuai

dakapan hangat cinta menyusuri sukma
terbias aku dalam pancawarna rindumu
mengulit renda romantis di kasmaran
merungkai desahan sepi kasih dipuja
kesyahduan alunan syairmu

kerlipan bulan bintang pun bersaksikan
paluan bergema laungan bisikan cinta
menyinari teja kasih dalam jingga rindu
terpesona dalam renjatan naungan suci
serinya tirai percintaan

anjung pelaminan kasih hiasan wangian
dengan lakaran rindu tertulis di altarmu
sirnanya menggebu di pusaran muara
mencipta lagu irama mengiringi tandu
kasih sejati

pohonlah kemilau cinta digelangi kasih
damaikan gelora rindu yang bertamu
pautlah reranting keteguhan kasih ini
lengkapkanlah kemuning wajah di hati
dengan lantera keabadian yang ikhlas

telah kuberi mentari cinta diufuk hati
mencurah gemersik hembusan puing
rindu yang berdetak di setiap helaan
nafas kasih tatkala disapa anggunku
yang bertakhta di lubuk sanubarimu

elegi intisari kasih dibelenggu rindumu
seakan mengusik resah yang tertancap
mengorak pepohonan perkasihan jiwa
yang bermukim di mata cinta dipalu
pesona raksa kian bergemerincing

leburkan titian kerinduan yang diintai
sentuhan wada'ah kasihmu di ribaku
mengusap ubun kalimah tertera hati
membenam tasik cinta di perdu jiwa
yang kian bersemarak dalam aksam
kejujuran nalurimu...

'Kuwarnai Teja Cinta Dengan Jingga Rindumu'...falsafah cinta ini metafora haruman kasih syahdumu...

25hb Oktober 2013 Khamis
12.07am
cahayasyahadah♥♥

Wednesday 23 October 2013

~ KEPULANGAN ~

~Kepulangan ~

walau kita berjauhan
terpisah oleh keadaan
rindu yang tidak keruan
hanya dirimu dapat tenteramkan
kuhanya dapat luahkan
setia ikhlas kejujuran
damba menanti kehadiran ...

 AnnaBf   
Taiping 

http://youtu.be/gWYwU3BtNEY

~ DIPANTAI RINDU ~

~ Dipantai Rindu ~

rindu.. rindu...
menggoda dambaan kalbu
resah gelisah tak menentu
dap dip dup gelora jantungku
terbayang kenangan lalu
kemesraan dikau dan aku
memadu kasih di mahligai syahdu

rawan naluriku
terdampar dipantai rindu
mengharap secebis kasihmu
agar tenang gejolak di kalbu...

 AnnaBf   
Taiping  23/10/2013

http://youtu.be/zB-DaMD3t54

~ MENJEJAK RINDU ~

~ Menjejak Rindu ~

sayu dan pilu 
menikam kalbu
teringat terbayang 
seraut wajahmu
kencang nafas
berdebar naluri
membakar rindu
dipantai cintaku ...

 AnnaBf   
Taiping 

http://youtu.be/k4JevcBFNOk