Members

Tuesday 7 January 2014

~ MANUSIA BEJAT ~

MANUSIA BEJAT

Sepertinya aku ingin bersuara
menyembur segala bahasa
ingin juga kusiram ubun-ubunnya
dengan lahar kata
biar berceranggah dengan tusukan lidahku
supaya dia lebih mengerti
di mana langit
di mana bumi
di mana adab
di mana budi.

Telah banyak kukirai
setiap katanya yang terpampang
membelek satu persatu
agar dapat kutemui
ikhlas bicara dalam kata
biar sebaris cuma
namun yang kutemui hanya kebejatan maksud
hanyir dan bernafas bangkai
membusuk dalam wangi aromanya bahasa.

Aku semakin mengenalinya
bukan kerana keindahan karya
tetapi adab bahasanya yang memualkan
yang disandarkan atas nama seni
seni yang dilahirkan
dari seketul hitam hatinya.

Ah!
perlukah aku peduli
manusia petualang bahasa
bertopeng malaikat
di sebalik kemunafikan.

Qalam Bertinta
Klang
07122013
1455pm

No comments:

Post a Comment