Members

Thursday 8 August 2013

~ HARI LEBARAN MELAMAR KESAYUAN ~

~ Hari Lebaran Melamar Kesayuan ~

Di kala lebaran syawal mendakap hampir
sayup kedengaran takbir dilaung bertalu
menggamit kenangan memori meraikan
di waktu kemeriahan berkumpul sanak
saudara terjalin mesra

terimbas kembali detik indah di saatku
bersalaman, mengucup tangan kedua
orang tuaku sambil memohon keampunan
kemaafan dalam riuh rendah usik mengusik
berseloka gembira

berlari, berkejaran anak-anak saudara
berebut saat di hulur sampul raya ini
tak terhingga bahagianya di ketika itu
dengan ketawa girang menghiasi ruang
rumah yang dipenuhi ceria

tika menjamu kuih raya di meja hiasan
bersilih bicara dalam suasana cemara
pohon berkasih bersimpuh di ribaan
kala kemuning cahaya aidilfitri indah
menusuk kalbu

di hari yang bermakna, kutitipkan doa
buat keluarga, bondaku yang disayangi
agar gemersik raya aidilfitri diraikan
walau tanpa aku di sisi, namun tetap
ada sinarnya menyuluh sukma

titisan embunan hari raya aidilfitri ini
kucuba melerai segala resah gelisah
di jiwa, walau hatiku sayup ingin rasa
bersama semula di sisi keluargaku
yang aku rindu

namun semuanya tinggal sepi meruntun
hiba dalam sendu tangis dalam hati lara
berjauhan dari bonda yang kurindu selalu
tidak lagi dapat kurasakan sapaan belaian
yang menyentuh nauraniku

kucuba bangkit kembali dengan semangat
di samping anak-anakku, meraikan aidilfitri
menjamah juadah lemang, ketupat bersama
dan kuresapkan makna yang bahagia moga
mereka jua merasa nikmatnya berhari raya

'Hari Lebaran Melamar Kesayuan'...terusik nurani kala berjauhan..melambai lembayung syahduku...

08hb Ogos 2013 Khamis
4.37am
lilyrubila♥♥

No comments:

Post a Comment