PANTUN TERKENANG
Dayang menari loceng di kaki,
di hadapan tuanku asyik memerhati;
di kota kumencari secebis rezeki,
namun kampungku tetap di hati.
Kelian Pauh di Larut Matang,
Kuala Gula di luar kota;
tempat jatuh lagi dikenang,
inikan pula tempat bercinta.
Kebun tebu dipenuhi lalang,
kebun bersebelah bendang padi;
biar seribu tahun menghilang,
kenangan indah tetap bersemadi.
Daun terap daun pegaga,
pucuk paku di atas peti;
hilangmu tetap kukenang juga,
kerana setiaku tak pernah mati.
Menunggang keldai ke Tanjung Tualang,
minyak gamat dipesan Pak Tua;
biar berkecai daging dan tulang,
hingga kiamat kutunggu jua.
Qalam Bertinta
Klang
11092013
1435pm
No comments:
Post a Comment